Wednesday, September 9, 2009

coNfiUssssss.......................................


SALAM....

ISLAM LIBERAL??????????

Ideologi Islam Liberal sedang meresap dan akan mengancam pemikiran umat di negara kita. Ideologi itu sedang melebarkan sayap di sesetengah IPTA/IPTS dan badan bukan kerajaan. Menyedari berbahayanya ideologi itu, ZAIN A. GHANI menemui Prof. Madya DR. Mohamad Kamil AbDUL Majid (foto) dari Universiti Malaya untuk mendengar pandangan ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan yang sedang mengetuai kajian tentang fahaman ini. Ikuti penjelasan beliau.

Boleh Prof jelaskan perkembangan serta “kemajuan” gerakan Islam Liberal ini di negara kita, Malaysia?

Apabila kita menyebut latar belakang pengaruh liberalisme terhadap Muslim, ia berlaku di negara kita adalah hasil daripada falsafah liberal yang wujud di Barat. Jadi apabila disebut liberalisme, modernisme, sekularisme, ia adalah “ideologi tiga beradik” yang saling berkait dan tidak dapat dipisahkan.

Sejak abad ke-15 lagi di Barat (terutama Perancis dan beberapa negara Barat) fahaman ini telah wujud ekoran kaum buruh yang tertindas oleh penguasa yang zalim – jadi golongan para ilmuwan dan filosuf mahu menggerakkan kemajuan tetapi ditentang oleh para penguasa yang disokong oleh gereja.

Lebih seratus tahun sebelum itu, kerajaan Andalus di Eropah telah mencapai tamadun pesat sehingga ramai pelajar Kristian dari kawasan lain Eropah datang untuk menimba ilmu…?

Memang benar, tetapi setelah kerajaan Islam Andalus terpaksa keluar (mengalami kekalahan) dari Eropah pada 1492 M, barulah bermula gerakan pembaharuan (englightenment) di Eropah.

Diringkaskan sejarahnya, apabila Islam juga mundur; berlakulah “penyerapan” pengaruh Barat yang kita dikesan bermula di Timur Tengah.

Liberalism itu ada dua sahaja. Satunya adalah sebagaimana yang diperjuangkan oleh tokoh-tokoh Islam yang membawa pembaharuan (Islah) seperti Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rasyid Ridha. Mereka mahu memajukan (liberal) masyarakat Islam tetapi dengan cara-cara yang dapat dianggap masih di dalam kawalan syariah.

Kedatangan fahaman liberalisme secara sengaja ataupun tidak dikatakan datang bersama kebangkitan semula Islam pada tahun 1970-an. Ia khususnya di Timur Tengah, terutamanya di Mesir.

Jika dirujuk kepada Mesir, apabila golongan Marxisme menyedari alirannya sudah tertolak; ia mula mengalihkan kepada aliran Islam – tetapi Islam yang dibawa mereka adalah Islam aliran Muktazilah - orang yang berfahaman kepada akal secara mutlak.

Fahaman ini juga akhirnya sampai kepada peringkat mempertikaikan wahyu.

Boleh Prof sebutkan tokohnya yang aktif di Mesir sekarang ini?

Antaranya bekas professor di Universiti Kahirah, Nasr Hamid Abu Zayd yang sekarang tinggal di Belanda. Yang lain ialah Hasan Hanafi, Mohamad Arkoun dan Amina Wadud, di Tunisia terdapat tokoh bernama Ali Harb - mereka yang disebut di atas adalah orang-orang yang mengepalainya.

Perkara utama yang dipertikaikan ialah ilmu-ilmu turath (warisan Islam) sehingga melibatkan al-Quran. Mereka mengadakan tafsiran al-Quran oleh ulama-ulama yang ditolak oleh ulama-ulama besar pada masa ini.

Maksudnya tidak relevan dengan suasana semasa?

Mereka mendakwa al-Quran itu bukan wahyu Tuhan yang asli, dakwa mereka wahyu itu sampai kepada Nabi Muhammmad tetapi apa yang dilafazkan Muhammad itu telah dibentuk di dalam bahasa nabi menurut sejarah dan budaya Arab.

Justeru, kononnya yang tertulis {naskhah al-Quran yang ada} bukan maksud al-Quran yang murni (asli). Mereka menyimpulkan al-Quran yang ada sekarang sebagai ciptaan Nabi Muhammad - sebagaimana tuduhan orientalis sebelum ini.

Tambah fahaman itu, kita tidak lagi memerlukan wahyu kerana akal manusia sekarang ini sudah lengkap daripada sudut ekonomi, sosial dan lain-lain tetapi yang paling penting pada manusia ialah akal.

Bagaimana ia dibawa ke tempat kita dan berkembang pula, boleh Prof perincikan?

Ajaran ini mempengaruhi pelajar-pelajar Indonesia di Kaherah - yang paling masyhur ialah Ulil Abshar Abdalla; dan idea ini sebelumnya awal 1970-an dicetuskan oleh Nurcholis Madjid yang dianggap Godfather Islam Liberal di negara itu. Nurcholis ialah lepasan Universiti Chicago, Amerika Syarikat yang mendapat pendidikan langsung daripada Prof Fazlur Rahman.

Tetapi Nurcholis tidak selantang dan seagresif kumpulan Ulil Abshar yang dinamakan Jaringan Islam Liberal (JIL) yang berpusat di Utan Kayu, Jakarta.

Para pelajar Indonesia di Mesir pula dikatakan lebih daripada 60 peratus berminat dengan fahaman Hassan Hanafi.

Mereka mempersoal al-Quran dan al-Hadis sebagaimana Kassim Ahmad pada 1990-an menerbitkan buku Hadith - Satu Penilaian Semula. Buku Kassim telah diterjemahkan ke bahasa Arab dan kata pengantarnya ditulis Hassan Hanafi.

Jadi dari Mesir masuk ke Indonesia, dan dari Indonesia masuk ke Malaysia. Siapakah pembawanya ke Malaysia?

Kumpulan ini termasuklah beberapa tokoh di dalam dan yang pulang dari luar negara dan beberapa orang yang sering menggunakan perkataan pencerahan ‘enlightenment.’ Mereka juga marahkan raja dan ulama.

Di Malaysia, kumpulan ini tidak lahir di dalam bentuk pertubuhan seperti Indonesia, tetapi yang kelihatan ialah pengaruh berbentuk idea sebagaimana Sisters In Islam dan beberapa penyokong pertubuhan parti politik - termasuk beberapa pertubuhan bukan kerajaan.

Kewujudan kumpulan ini tentunya melahirkan “bahaya” kepada masyarakat Muslim. Aspek apa yang Prof nampak?

Bahaya terbesar ialah perpecahan sesama Muslim, perpecahan mazhab, perpecahan politik, ajaran salah dan Islam Liberal ini telah diwartakan sebagai ajaran salah oleh Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) sejak 2006.

Begitu juga ajaran Kassim Ahmad juga telah diwartakan, cuma pelaksanaannya terletak di tangan gabenor atau raja di negeri-negeri Malaysia.

JAKIM hanya mampu mengeluarkan fatwa, tetapi pelaksanaan atau penguatkuasaan terserah kepada kerajaan negeri masing-masing.

Satu lagi masalah ialah kumpulan ini akan menyebabkan kekelam-kabutan kepada penafsiran ajaran Islam sebenar.

Apa yang berlaku di Mesir dapat diambil iktibar bahawa fahaman ini sangat berbahaya.

Contohnya ketika berada di Mesir, saya bertemu dengan Jamal, adik Hasan al Banna yang berfahaman liberal. Jamal mengatakan dia tidak lagi menggunakan method asas di dalam Islam seperti berdasarkan al-Quran, hadis ijmak atau qiyas tetapi menggunakan method bebas untuk menterjemahkan perkara berkaitan agama Islam.

Seorang wanita liberal bernama Nuwal al- Sa’dawi menulis sebuah buku berjudul Apabila Tuhan Meletakkan Jawatan. Nuwal seolah-olah telah meletakkan bahawa Tuhan sudah mati - begitulah golongan ini mempermainkan Tuhan.

Tetapi jika kita lihat semula pandangan Hasan Hanafi, ia tidaklah sebahaya itu yang katanya: “Manusia yang mencipta Tuhan….” setakat itu saja.

Golongan Islam Liberal ini berpegang kepada ideologi humanisme Barat.

Mereka berhujah: “Kenapa Allah mempunyai nama sehingga 99? Kenapa Tuhan itu alim? Kerana manusia itu jahil (tidak mengetahui), jadi manusia mahu satu ideal iaitu al-alim - kerana manusia tidak dapat mendengar , tidak dapat melihat. Oleh itu manusia perlukan sifat sami’ul basyir, iaitu dapat mendengar dan dapat melihat.”

Antara bahaya ajaran ini ialah akan lahir pengikut yang meremehkan al-Quran, meremehkan hadis dan otoriti ulama, ini kerana mereka menganggap ulamalah yang pandai-pandai “mentafsirkan” Islam.

Sedangkan mereka mahu supaya sesiapa sahaja dapat mentafsirkan Islam.

Mereka telah menolak autoriti, kerana pada anggapan mereka autoriti di langit ialah Tuhan, sementara autoriti di bumi ialah raja.

Hassan Hanafi menulis suatu ungkapan pada bukunya Minal Aqidah Ilal Thaurah - yang bermakna “daripada akidah kepada tamadun.” Maksudnya, daripada sekadar asyik membincangkan sifat atau zat Tuhan sahaja, eloklah kita membincangkan tentang revolusi pula.

Antara revolusi anjurannya ialah menghakiskan kuasa Tuhan di langit dan menghakiskan kuasa raja di bumi, dan juga menghakiskan otoriti para ulama.

Mereka benar-benar yakin apabila apa yang dianggap “dua autoriti” ini terhapus, umat Islam akan menjadi maju?

Ya, kata mereka lihat di Barat di mana tiada lagi kuasa raja dan paderi di gereja dan kononnya akal pun dapat berfungsi dengan lancar. Itulah yang mereka maksudkan dengan pencerahan (enlightenment).

Banyak perkara yang ada kaitan dengan Islam itu mereka anggap dongeng belaka. Umpamanya mereka anti kepada wanita memakai tudung, atau lelaki bersongkok atau berserban kerana kononnya menghalang oksigen - tidak sampai ke kepala.

Oleh itu, kata mereka, ulama-ulama begini jumud sifatnya dan bahkan mengejek para ulama sebagai keldai-keldai tunggangan sahaja.

Jadi berbetulanlah “apabila Tuhan telah meletakkan jawatan, para ulama juga tidak berperanan lagi.”

Pada tahun lepas (2008), ketika saya melawat Timur Tengah - terjadi polemik besar antara para ulama dengan Nuwal al-Sa’dawi yang kini melarikan diri dan tinggal di Belanda. Mereka mengadakan sidang video dan berdialog dengan Nuwal, mempersoalkan dakwaan dan penghinaan terhadap agama oleh wanita itu.

Sebelum itu Mahkamah Tinggi Mesir telah memutuskan Nasr Hamid Abu Zayd sebagai murtad dan dipisahkan daripada isterinya.

Jadi, yang jelas pemikiran Islam liberal yang tanpa batasan ini telah mengacau pemikiran umat yang selama ini telah dijaga oleh para ulama. Ekorannya, kumpulan ini sangat marah dan sinis kepada lepasan al-Azhar dan Timur Tengah lain.

Akhir-akhir ini kita dapati ramai pelajar lepasan Jordan yang bergiat menyebarkan fahaman ini dan mendapat bantuan daripada pertubuhan yang dipanggil Konrad Adeneur yang berpusat di Berlin, Jerman.

Yayasan lain ialah yang berperanan dalam penyebaran Islam Liberal ini adalah Yayasan Fullbright, Yayasan Toyota, Yayasan Ford, dan Asia Foundation.

Dan di Indonesia, mereka berlumba-lumba menubuhkan Lembaga Swadaya Masyarakat (LSM) atau NGO yang mendapat bantuan badan-badan tersebut untuk mempromosikan Islam Liberal melalui buku-buku dan majalah.

Patut juga disebut bahawa mantan presiden ketiga, Abdurrahman Wahid (Gus Dur) adalah termasuk tokoh pendukung utama idea Islam Liberal ini.

Gus Dur apabila ditanya sama ada bolehkah menerima bantuan daripada Amerika, kerana di sebalik bantuan tentu ada sesuatu di sebaliknya?

“Tak ada apa-apa, mereka itu wangnya banyak!” jawab Gus Dur selamba.

Orang yang memberi bantuan tentulah ada strateginya.

Yang paling menonjol sekali ialah gerakan feminisme. Walaupun Islam tidak pernah menafikan hak wanita, tetapi gerakan mereka ialah untuk menyamakan wanita dengan lelaki, yang disebutkan sebagai gender. Di Malaysia, ianya di bawa oleh SIS.

Antara tokohnya ialah Aminah Wadud yang pernah mengajar di Universiti Islam Antarabangsa, apabila balik ke AS telah membuat satu isu besar dengan mengimamkan solat Jumaat di mana makmumnya bercampur-baur bersama-sama lelaki.

Juga tuntutan wanita sebagai ketua keluarga. Begitu juga mempersoalkan kenapa lelaki berhak berpoligami.

Mereka turut mempersoal kenapa kaum lelaki mendapat nisbah yang lebih di dalam pembahagian pusaka. Seolah-olah ulama bias kepada wanita.

Sedangkan Islam mengiktiraf wanita sama taraf – tetapi lelaki dan wanita itu menyumbang kepada masyarakat dengan fungsi yang berbeza.

Tetapi mereka mahu samakan fungsi di antara lelaki dengan wanita, dan hasil daripada perjuangan yang dipanggil “gender’ ini terhasil banyak wanita yang menjauhi perkahwinan.

Pada mereka adalah hina bagi wanita menjadi “kilang” untuk melahirkan anak kepada lelaki. Jadi mereka melihat sesuatu itu daripada perspektif akal semata-mata.

Bagaimana kita mahu membetulkan perkara yang salah ini?

Di Universiti Malaya kita wujudkan satu kumpulan yang terdiri daripada tujuh orang, terdiri daripada beberapa pensyarah dan pelajar untuk membuat kajian. Setakat ini kita telah melawat Mesir dan mendapat sumber-sumber asal dan bahan-bahan yang ditulis oleh tokoh-tokoh dan berkaitan dengan mereka.

Kita juga telah melawat Jakarta, Indonesia untuk mendapat sumber asal daripada tokoh mereka. Kajian kita bukan sekadar luaran tetapi kita telah melakukan kunjungan ke Indonesia untuk mendapat sendiri buku-buku dan tulisan serta merakam dan mendokumentasikan percakapan tokoh-tokoh mereka sendiri di Indonesia.

Setakat mana usaha menerangkan kepada masyarakat?

Kita telah mula mengadakan road show ke seluruh negara. Baru-baru diadakan program bersama pejabat Mufti Melaka, dan bersama JAKIM kita telah adakan program di Sabah dan Sarawak, menerangkan pembohongan kumpulan Islam Liberal ini. Kita juga telah pergi ke Terengganu dan akan terus menerangkan kepada masyarakat seterusnya.

Banyak orang yang terkejut dan bimbang tentang masa depan agama Islam dan mereka meminta kerajaan menguatkuasakan undang-undang supaya dapat membendung dan menyekat pemikiran karut dan jahat ini.

Dan apa yang bahaya selepas itu kebanyakan mereka ini juga berpegang kepada “pluralisme” agama, di mana mereka mendakwa bahawa :“semua agama sama.”

Di Indonesia telah berlaku kahwin silang agama di mana bukan sahaja lelaki Islam berkahwin dengan wanita bukan Islam, tetapi telah berlaku juga lelaki bukan Islam berkahwin dengan wanita Islam.

Sebagaimana anak perempuan Nurcholis yang Muslimah berkahwin dengan lelaki Yahudi?

Ketika di Jakarta saya menyelidikinya dan memang benar anak perempuan Nurcholis berkahwin dengan lelaki Yahudi, dan Nurcholis memberi keizinan - kerana ketika itu dia masih hidup.

Dan yang malangnya di sana terdapat orang bertaraf kiyai yang kerjayanya adalah sebagai “juru nikah” orang-orang yang mempraktikkan silang agama itu.

Reaksi terbaru JAKIM dan jabatan agama negeri?

JAKIM dan jabatan agama negeri-negeri telah mewartakannya sebagai ajaran sesat. Tetapi apa yang membimbangkan saya, terdapat usaha untuk membina kolej ataupun mungkin universiti Islam Liberal di negara kita untuk mempromosikan ajaran sesat ini.

Di Jakarta, universiti mereka bernama Paramadina, dan golongan ini telah menguasai Universiti Islam Negeri (UIN) Jakarta. Tokoh-tokoh mereka adalah pengajar di universiti itu - antaranya Azyumardi Azra, Komarudin Hidayat, Kausari Noer dan beberapa lagi.

Bagaimana mereka gunakan kemudahan IT?

Dengan kedatangan IT dan globalisasi – semua kemudahan dan maklumat dapat diakses oleh banyak orang, dan golongan Islam Liberal telah menggunakan kemudahan ini untuk memperkembangkan idea mereka.

Islam Liberal ini pula dalam rangka hendak memecahkan belah ini membahagikan Muslim kepada dua. Satu, Muslim yang mengamalkan agama dan Muslim yang tidak mengamalkan agama.

Sedangkan Islam tidak membuat pembahagian sedemikian. Seseorang Muslim itu adalah Muslim seluruhnya daripada iman, amalan dan tingkah lakunya - tiada kompromi atau pembahagian.

0 comments:

Post a Comment

 

feel my soul Blak Magik is Designed by productive dreams for smashing magazine Bloggerized by Ipiet Blogger Templates © 2008